Thursday, 14 May 2015

ICT untuk kanak-kanak prasekolah: Kurikulum Pendidikan Prasekolah Malaysia

Prasekolah merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan pendidikan prasekolah bagi membolehkan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun memasuki persekolahan lebih awal, terutamanya kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah.

Kurikulum Pendidikan prasekolah dirangka dengan teliti bagi memenuhi keperluan dan tahap keupayaan kanak-kanak berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Mulai tahun 2002, semua pusat pembelajaran kanak-kanak samada diuruskan oleh Kementerian Pelajaran mahupun dikelolakan oleh pihak swasta mestilah mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dan disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada peringkat awal kanak-kanak, pengalaman mereka mampu mempengaruhi pembelajaran serta perkembangan mereka dan proses perkembangan kanak-kanak adalah berterusan. Oleh itu, penyediaan pengalaman awal kanak-kanak adalah penting dan mereka memerlukan pembelajaran yang terancang, menarik dan relevan dengan perkembangan semasa serta dapat memenuhi keperluan individu kanak-kanak. Selain itu, kita juga perlu mempertimbangkan kemampuan, keupayaan, kebolehan serta kesediaan kanak-kanak mengikut tahap perkembangan mereka. Berhubung dengan perkara ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM 2003), bahagian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan Malaysia menyarankan bahawa salah satu daripada pendekatan yang harus digunakan di Prasekolah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah pendekatan penggunaan ICT atau pun TMK (Teknologi maklumat dan komunikasi) dan termasuklah pengintegrasian komputer dalam prasekolah.   

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin memain peranan penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Melalui ICT, dunia seolah-olah berada dalam satu ruang lingkup yang amat sempit kerana ia mudah dicapai dan diteroka. Dalam sistem pendidikan, ICT dikatakan mampu menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.  Bagi pengajaran pembelajaran kanak-kanak di prasekolah, ICT perlu diintegrasikan supaya proses pengajaran dapat berjalan dengan berkesan, menarik, mencabar dan interaktif. Kajian Clements (1987) serta Hough dan Ellis (1997) mendapati ICT boleh membantu kanak-kanak menghasilkan sesuatu yang kreatif.

ICT dalam Pendidikan awal kanak-kanak bermaksud penggunaan ICT dalam sesi pengajaran dan pembelajaran secara terancang dan bersesuaian untuk membantu dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kecekapan dalam proses dan keberkesanan P&P. Dalam kurikulum prasekolah kebangsaan juga telah dinyatakan bahawa penggunaan komputer adalah untuk memperolehi maklumat, berinteraksi dengan rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran. Kementerian Pelajaran juga telah berusaha untuk menjayakan rancangan ini dengan membekalkan kelas prasekolah dengan sistem komputer dan perisian untuk digunakan oleh pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007).

Penggunaan Bahan ICT Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Sama seperti pengenalan sistem baru dalam kurikulum pembelajaran di sekolah sama ada sekolah rendah atau pun sekolah menengah, Penggunaan ICT dalam pembelajaran Pendidkan Awal kanak-kanak juga, pada mulanya mendapat pandangan serong daripada para pendidik. Sejak komputer diperkenalkan kepada kanak-kanak di negara barat, para ahli pendidik di situ juga bimbang bahawa penggunaannya boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada kanak- kanak. Namun begitu, penggunaan bahan ICT terus digalakkan walaupun perkembangannya agak perlahan. Ini kerana perkembangan semasa terus mengubah pandangan para pendidik tidak kira di mana juga. Guru-guru prasekolah menggunakan kelebihan ICT adalah untuk mencari bahan, maklumat yang dapat membantu mereka dalam sesi pengajaran di sekolah. Terdapat banyak sumber yang mudah didapati dan berguna kepada guru-guru prasekolah.

Penggunaan bahan ICT agak terkenal di negara-negara barat dan kebiasaannya aktiviti seperti nyanyian, mereka akan menggabungkan pembelajaran dengan penggunaansoftware atau perisian yang sesuai dengan kanak-kanak. Misalnya, Radio Disney Music Mix Studio dimana mereka boleh mencipta lagu mereka sendiri dan mempelajari tentang pelbagai alat muzik menggunakan perisian tersebut. Selain itu, pembelajaran matematik menggunakan perisian Magic School Bus: whale and dolphin dan melaluinya dapat membantu kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah. Penggunaan internet juga membantu contohnya laman web PBS menyediakan pembelajaran literasi yang baik untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 8 tahun. Disini, mereka dapat membaca dan juga mempunyai pelbagai aktiviti. Selain itu, laman National Geographic Kids membekalkan maklumat tentang geografi, penjelajahan, kraf, aktiviti sains untuk kanak- kanak (Doris Bergen,2001).


Kepentingan ICT dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Sistem kurikulum prasekolah telah dibina bersesuaian dengan tahap perkembangan dan bersesuaian dengan aspek pembangunan dan kemajuan masa kini. Walaupun kaedah dan sistem yang ada cukup untuk membantu dalam perkembangan pelajar prasekolah dari segi JERI namun kelebihan ICT juga amat berguna dan membantu dalam melicinkan lagi proses pembelajaran di prasekolah. Terdapat banyak kepentingan ICT ini termasuklah membantu guru untuk mendapatkan bahan pengajaran dan membantu pelajar untuk menjelajah dunia ICT agar tidak ketinggalan dengan arus pemodenan. Penggunaan peralatan ICT seperti komputer amat penting dalam membantu pelajar untuk menjelajah dunia internet dan melalui internet, mereka dapat membuat banyak aktiviti yang melibatkan perkembangan kognitif kanak-kanak.

Antara kepentingan internet kepada pelajar adalah seperti membantu mereka untuk memperolehi maklumat dan bahan yang mereka sukar dapatkan di sekolah. Selain itu, pelajar juga dapat membuat aktiviti yang melibatkan interaksi dengan pelajar-pelajar ain dari luar negara melalui perkhidmatan internet. Selain itu, mereka juga dpat membuat projek kelas menggunakan komputer dengan bantuan internet. Contohnya di negara barat, pelajar berumur 4 tahun berpeluang untuk melayari laman web sekolah mereka dan memasukkan gambar mereka. Selain itu, mereka juga boleh memasukkan suara mereka sekali.

Di samping itu, ICT juga dapat meningkatkan pembelajaran secara kolaboratif. Seperti contoh di atas, penggunaan ICT dapat meningkatkan penglibatan pelajar-pelajar dengan aktiviti-aktiviti serta proses pembelajaran melalui “peer group” yang lebih bersifat global. Selain itu juga, melalui ICT, pelajar-pelajar mudah untuk menghubungi ataupun melibatkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara semasa sesi pembelajaran.

ICT merupakan sesuatu yang amat luas penggunaannya dan ini memberikan banyak pilihan kepada guru prasekolah dalam merancang pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Antaranya adalah, ICT boleh digunakan untuk pengayaan bagi pelajar yang agak cerdik berbanding dengan pelajar lain supaya mereka tidak merasa bosan dalam kelas dengan memberikan mereka aktiviti yang lebih mencabar minda. Selain itu, ICT juga sesuai digunakan untuk pembelajaran yang menjurus kepada penyelesaian masalah kehidupan sebenar. Aktiviti yang berkaitan dengan masa depan juga boleh dibuat serta aktiviti yang berbentuk simulasi.


No comments:

Post a Comment